Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa...Maksud al-Maidah:2.
Allah sentiasa membantu hambaNya selama mana hambaNya membantu saudaranya.. Maksud al-Hadith/Muslim.

Thursday, November 24, 2011

Bagaimana Mengisi MASA cuti?

Oleh WM Ubaidillah Wan Abas,
Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Cuti persekolahan yang panjang sudah masuk minggu ke dua. Ramai yang gembira kerana setelah sekian lama bertungkus lumus dalam pelajaran akhirnya dapat berehat panjang di rumah masing-masing. Namun cuti yang sedang dilalui ini janganlah dihabiskan tanpa ada hasilnya. Apa yang telah anda rancang untuk lebih kurang 14 hari itu? Adakah anda sudah merancangnya? Kata orang putih, if you fail to plan, you plan to fail!. Sebaiknya perancangan anda itu ditulis. Pakar perancangan dan strategik menyatakan mereka yang menulis perancangan akan dapat menjayakan 80% perancangannya, sebaliknya orang yang tidak menulis plannya maka hanya 20% yang berjaya. Nah! Tuliskan sekarang, anda belum terlambat.

Jangan biarkan 14 hari cuti anda berlalu tanpa apa-apa outcome yang baik untuk diri anda. Antara perkara yang boleh anda timbangkan untuk pengisian tempoh tersebut ialah:

1. Membaca dan Menghafaz al-Quran - Menghafaz al-Quran sebenarnya melatih dan menguatkan daya ingatan/memori otak kita. Apatah lagi dengan banyaknya ayat dan surah yang anda belum dapat tasmik pada penggal yang lepas! Hafal untuk rekod peribadi dan juga untuk memenuhi muqarrar sekolah. Letakkan target berapa juzuk atau surah yang mesti dihabiskan. Buat jadual contohnya setiap selepas solat mesti baca atau hafaz dua helaian.

2. Ulangkaji pelajaran - Sudah tentu banyak kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru yang perlu disiapkan. Di samping itu, bolehlah memuraja’ah, mengulangkaji dan menyemak balik apa yang pernah dipelajari. Selain itu, apa yang akan dipelajari untuk penggal yang akan datang juga perlu diperhatikan. Buat persiapan awal.

3. Ziarah - Adakan kunjungan terhadap sanak saudara, sahabat handai, rakan taulan, jiran dan sebagainya. Ini dapat mewujud dan mengeratkan silaturrahim. Semasa waktu persekolahan, anda sibuk dan tidak sempat mengeratkan hubungan. Nah sekarang masanya. Dengan menghubungkan silaturrahim anda akan mendapat rahmat, masuk syurga, kesan kepada dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki (rujuk Hadith). Selaian itu, seseorang yang menziarahi orang sakit atau kawannya kerana Allah, maka malaikat akan mendoakan kepadanya tempat di syurga.

4. Siyahah - Banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi sama ada dalam dan luar negeri (bagi yang berkemampuan). Ada yang plan untuk umrah. Jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pengetahuan.

5. Muzakarah - adakan diskusi dengan sesiapa yang dianggap boleh kita menimba ilmu daripada mereka. Kita boleh jumpa pak-pak imam, tok-tok guru, rakan-rakan lama yang kita tahu kebolehannya. Namun elakkan dari berdebat dan bertegang leher!

6. Amal Ijtima’ie - Libatkan diri dengan kegiatan-kegiatan komuniti yang boleh membina sahsiah anda. Program-program seperti gotong royong membersihkan surau, masjid, taman perumahan, kenduri-kendara, sukan dan sebagainya wajar disertai. Dengan penyertaan ini anda dapat membina hubungan yang sihat dengan ahli masyarakata anda. Namun harus diingat anda membawa nama sekolah dan elakkan dari melakukan perkara yang boleh mencemarkan nama baik pelajar sekolah agama.

7. Baramij Bannaie - Jika anda berkemampuan, sertai program-program pembinaan diri atau motivasi yang banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak. Pilih program yang anda rasa perlu sahaja. Bincangan dengan ibubapa. Jangan bazirkan masa, tenaga dan fulus anda.

8. Ma’rad - Di sana sini terdapat pameran yang dianjurkan pelbagai pihak. Pilih yang sesuai dengan anda atau yang menambahkan pengetahuan dan membina motivasi diri. Contohnya pameran buku, pameran peluang-peluang pendidikan dan sebagainya. Anda boleh mencarinya di laman web atau di dada akhbar.

9. Ta’wwun Usrah - Bantu ahli keluarga di rumah - Ya! Yang ini sudah pasti perlu anda usahakan agar keberadaan anda di rumah tidak menyusahkan malah sebaliknya. Yang lelaki boleh membantu mencuci kenderaan, membersihkan tingkap, halaman rumah dan sebagainya. Yang perempuan mungkin boleh mengemas pakaian, menjahit, mengemas dapur dan memasak.

10. Memondok - Alangkah baiknya semasa cuti yang panjang ini anda dapat tinggal di pondok-pondok pengajian agama. Pondok banyak terdapat di Kelantan, Terengganu, Kedah malahan Selangor. Jika mahukan lebih, mungkin boleh ke Patani atau Indonesia. Jika mahu lebih lagi, terbang ke timur tengah. Namun merasai suasana kehidupan dan pengajian pondok di tanah air sudah memadai. Kalau benar-benar mahu, saya boleh tolong usahakan.

Selain itu, anda perlu mengelakkan diri daripada mensia-siakan waktu dengan hanya makan tidur sepanjang hari. Atau melepak di depan kaca tivi atau pc, atau merayau-rayau tanpa tujuan. Ingat sekali lagi bahawa anda wajib menjaga nama baik pelajar sekolah agama. Jaga adab!

** Guru Kaunseling anda, boleh dihubungi di wmubai@yahoo.com atau abutalhah1@gmail.com. Tulisan ini pernah disiarkan sblm ini di blog smamaiwp.

Peperiksaan SPM

Peperiksaan SPM berlangsung dari 14 nov sehingga 13 dis. Semoga semuanya mendapat kejayaan!

Cuti Akhir Tahun 2011

Cuti persekolahan akhir tahun bermula 12 nov dan berakhir pada 3 jan 2012.