Selaku Guru Pendidikan Islam (Ketua Panitia PI 2009, kini mantan), Ustaz Syukri adalah antara tenaga penting yang menggerakkan usaha ke arah kemerlangan subjek PI. Di celah-celah kesibukan, beliau masih sempat untuk menjawab beberapa soalan yang dikemukakan. Berikut adalah saripati temubual ringkas yang dilakukan oleh pihak Pengendali Blog UBK dengan beliau.
Assalamualaikum. Terlebih dahulu, terima kasih diucapkan kerana sudi menemuramah saya.Alhamdulillah syukur kepada Allah Taala kerana dengan perkenanNya SMAMAIWP berjaya mencipta nama dan menempa kecemerlangan akademiknya iaitu 100% lulus dalam semua subjek dan syukur juga kerana subjek Pendidikan Islam mencatat rekod tangga yang pertama dalam keseluruhan subjek. Alhamdulillah sekali lagi.
Saya tidak lupa mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAIWP, PIBG SMAMAIWP dan seluruh warganya yang telah banyak berkorban demi memastikan kemerlangan ini menepati apa yang dirancang, terutama kepada alfadhil Tuan Haji Shahidin selaku Pengetua, Ustaz Tarmizi, Ustaz Kasful Anuar, Ustaz Hafiz, Ustaz Wan, Ustaz Taufiq, Ustazah Halimatun, Ustazah Madihah dan lain-lain yang terlibat secara langsung dalam membentuk kecemerlangan ini. Tanpa kerjasama dari semua pihak, semua ini tidak akan tercapai. Pencapaian ini adalah hasil muafakat semua guru yang sentiasa bersungguh-sungguh bersaing dalam mencapai target yang ditetapkan. Pencapaian ini sebenarnya tidak diduga oleh saya selaku Ketua Panitia PI. Pada jangkaan saya, sekitar 80 % sahaja yang akan mendapat A. Tetapi alhamdulillah, 165 (95.9%) pelajar mendapat A dan 7(4.1%) pelajar mendapat B. Kecemerlangan ini dicapai disebabkan kecekalan dan ketabahan pelajar dalam menuntut ilmu di samping minat mereka terhadap subjek ini.
Pada pendapat saya selaku seorang guru, perlu ada toleransi sewaktu mengajar di dalam kelas. Guru perlu menanamkan rasa minat pelajar kepada subjek yang diajar dan lebihkan praktikal di dalam kelas. Ini terbukti dari pemerhatian saya selama saya mengajar, saya lebih bertindak sebagai fasilitator atau pemudah cara kepada pelajar, Seperti subjek KHB, mereka suka membuat kerja pertukangan kayu mereka sendiri. Guru subjek ini tidak pernah menceritakan cara bertukang, malah mereka sendiri yang berusaha sehingga menjadi apa yang ditukangkan. Ini bermakna praktikal lebih berkesan dari tutorial yang mengarah kepada komunikasi sehala. Ini yang saya dan rakan guru yang lain lakukan. Satu lagi cara yang saya rasa sangat berkesan ialah memberi kefahaman kepada pelajar sebelum mengajar ataupun memberi latihan tajuk yang akan diajar. Contohnya, minggu depan pelajar akan belajar tajuk wuduk. Pelajar mesti menyiapkan latihan tajuk tersebut sebelum guru mengajar. Ini bererti pelajar sudah mendapat 50% kefahaman sebelum belajar dan selebihnya mereka akan dapat semasa sesi pembelajaran. Selebihnya tertakluk pada guru tersebut dengan melakukan amalan-amalan yang murni serta sering berdoa kepada Allah, memohon agar pelajarnya mendapat kecemerlangan. Alhamdulillah, doa dimakbulkan.
Berkaitan dengan perancangan kami pada tahun hadapan, kami berharap agar apa yang telah dilaksanakan akan terus dipertingkatkan lagi. Kami selaku tenaga pengajar akan terus yakin dan komited terhadap apa yang kami lakukan. Harapan saya semoga SMAMAIWP akan terus menempa kejayaan dan maju dalam membina generasi yang cintakan Islam dan rindukan Iman. Akhirnya, saya memohon ribuan ampun dan maaf dari semua andai ada yang tersinggung hati dan perasaan.
No comments:
Post a Comment